SYDNEY: Jumlah wanita muda Australia menyertai kumpulan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria menunjukkan peningkatan, kata Peguam Negara, George Brandis pada Sabtu. "Pada peringkat awal, kira-kira enam bulan lalu, kami bimbang mengenai pembabitan golongan lelaki muda," katanya seperti dilaporkan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC). "Bagaimanapun, kebelakangan ini agensi keselamatan negara mendapati ada peningkatan bilangan wanita muda yang menyertai kumpulan," katanya. Brandis berkata, kira-kira 90 warga Australia dipercayai berada di kawasan bergolak berbanding 70 tahun lalu, lapor ABC. Malahan, lebih ramai golongan muda terpengaruh dengan pelbagai dakwaan mengenai kumpulan militan itu Militan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) atau Daesh," katanya menggunakan nama singkatan untuk kumpulan itu. "Penduduk Australia sepatutnya lebih berhati-hati kerana ia masalah yang semakin meruncing," katanya. Menerusi undang-undang baharu negara itu, sesiapa yang dikesan memasuki kawasan yang dikategorikan sebagai lokasi panas pengganas boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun apabila pulang ke Australia. Pada Disember, Senator Bandis mendakwa kumpulan militan menggunakan pejuang asing sebagai alat propaganda sambil mendedahkan 20 warga Australia dibunuh di Syria dan Iraq. Masalah ini bukan sahaja di Australia tetapi rantau ini, katanya sambil menambah Indonesia, Thailand dan Malaysia juga berhadapan situasi sama.