BAITULMAQDIS: "Jika Sajida al-Rishawi tidak bersedia untuk pertukaran dengan saya di sempadan Turki pada terbit matahari esok (Khamis), 29 Januari waktu Mosul, maka juruterbang Jordan, Mu'ath al-Kaseasbeh akan segera dibunuh." Mesej suara itu disampaikan tebusan Jepun, Kenji Goto menerusi Twitter militan Negara Islam (IS) yang disebarkan pada Rabu. Kumpulan pengganas itu kini menggunakan taktik terbaharu dengan menjadikan Goto yang juga seorang wartawan sebagai penyampai ugutan bunuh terhadap juruterbang Jordan itu. Pihak IS dikatakan akan bertindak seperti dikatakan Goto jika Amman enggan membuat pertukaran dengan seorang tebusan wanita. Juruterbang berpangkat Leftenan itu kini menjadi sasaran kumpulan berkenaan selepas seorang lagi tebusan Jepun dibunuh baru-baru ini.