suria

Mayat Dua Juruterbang Ditemui Di Kokpit, Satu Berjaya Dikeluarkan

JAKARTA: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) menemui mayat dua juruterbang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Perkara itu dimaklumkan pada sidang media, Jumaat.

Ketua Basarnas, Bambang Soelistyo berkata kokpit pesawat tersebut dijumpa kira-kira 20 meter dari lokasi penemuan badan pesawat dan mayat kedua-dua juruterbang itu terperangkap didalamnya.

Dua mayat itu masih berpakaian seragam dan melekat di tempat duduk dengan memakai tali pinggang keselamatan, lapor portal berita Detik.com.

Pasukan penyelam berjaya mengeluarkan salah satu mayat dan dibawa naik ke atas kapal KN Pacitan.

Mayat tersebut tidak dapat dikenal pasti kerana sudah mereput, kata Bambang.

Penyelam dijangka kembali ke kokpit tersebut pada pagi Sabtu untuk mengeluarkan satu lagi mayat yang tertinggal.

Pesawat AirAsia Indonesia terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu semasa dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Pesawat tersebut membawa 162 penumpang dan anak kapal.

Seramai 98 mayat telah dijumpai setakat ini. 

Ia termasuk mayat salah seorang juruterbang yang ditemui pada Jumaat dan satu lagi mayat di luar perairan Pinrang, Selatan Sulawesi. – The Straits Times/ANN

AirAsia, QZ8501, juruterbang, Basarnas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain