SERAMAI 28 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di Brazil selepas tiga wanita yang berpakaian fantasi ala pakaian seragam polis berjaya 'menggoda' tiga warden penjara, menurut satu laporan. Polis menemui ketiga-tiga warden penjara berkenaan dalam keadaan berbogel dan digari di dalam penjara awam Nova Mutum, dekat Cuiaba, tengah Brazil pada waktu pagi selepas insiden banduan melarikan diri itu. Menurut penyiasat, ketiga-tiga wanita tersebut dilaporkan memberikan minuman keras yang telah diletakkan dadah di dalamnya kepada warden penjara dan memperdayakan mereka untuk menyertai satu 'pesta liar'. Sekumpulan banduan melarikan diri menggunakan pintu utama, malah sempat mengambil senjata dari tempat persembunyian di penjara tersebut. Polis kemudiannya menemui sebuah beg yang mengandungi pakaian dalam wanita dan pakaian seragam polis yang digunakan wanita sebagai fantasi untuk melakukan hubungan seks, dipercayai telah dipakai oleh ketiga-tiga wanita berkenaan bagi menggoda warden penjara. Menurut polis, ketiga-tiga wanita tersebut, di mana salah seorangnya dilaporkan merupakan teman wanita kepada salah seorang banduan yang melarikan diri, tiba di penjara itu pada pukul 3 pagi Khamis waktu tempatan dan meminta kebenaran untuk berada di dalam kawasan penjara untuk berbual dan minum. Warden penjara itu dilaporkan memenuhi permintaan itu dan kemudiannya diperdayakan untuk meninggalkan tempat bertugas bagi menemani wanita tersebut ke kuartes kakitangan. Menurut ketua polis, Angelina de Andrades Ferreira, kesemua warden penjara itu kemudiannya diberikan dadah sebelum tangan mereka digari. Tambahnya, ketiga-tiga wanita itu kemudiannya mengambil kunci dan membuka semua sel penjara, menyebabkan sekumpalan banduan berjaya melarikan diri. Bercakap pada sidang media, beliau berkata: "Rancangan mereka adalah untuk menggoda warden penjara dengan memberikan minuman yang mengandungi dadah supaya mereka khayal. Kemudiannya membuka pintu utama yang menghubungkan sel penjara di bahagian dalam. "Mereka yang melarikan diri melalui pintu hadapan. "Kesemua warden yang khayal tidak dapat mengingati apa-apa. Seorang daripada mereka ditemui dalam keadaan pening kepala dan cuba untuk bangun. Seorang lagi tidur sepanjang waktu petang sehingga tidak dapat disoal siasat. Polis kini sedang memburu kesemua 28 banduan yang melarikan diri menerusi satu operasi mencari secara besar-besaran. Polis berkata, seorang banduan ditemui berjalan-jalan dengan memegang senapang yang dicuri di sekitar tengah bandar Nova Mutum. Manakala seorang lagi ditangkap selepas mencuri sebuah trak dari ladang dan kemudiannya terbabit dalam satu kemalangan. - mirror.co.uk