TOKYO: Pelajar perempuan sekolah menengah di Jepun menghabiskan sekurang-kurangnya tujuh jam sehari bermain-main dengan telefon bimbit mereka, demikian menurut kajian baru yang dikeluarkan pada Selasa. Hasil kajian itu juga mendapati, hampir 10 peratus daripada mereka menghabiskan masa sehingga 15 jam sehari dengan telefon bimbit. Sedangkan pelajar menengah lelaki hanya menghabiskan masa empat jam bersama telefon bimbit mereka. Tinjauan itu yang dijalankan oleh firma sekuriti, Digital Arts, turut menyatakan para remaja menggunakan sebahagian masa mereka melayari media sosial menggunakan telefon bimbit. Mereka juga menghabiskan banyak masa bermain permainan dalam aplikasi telefon pintar, malah melakukan rakaman video. Hampir 96 peratus pelajar sekolah menengah Jepun memiliki telefon bimbit manakala 60 peratus pelajar sekolah rendah turut memiliki telefon bimbit sendiri. Tinjauan itu juga mendapati, empat dari setiap 10 murid sekolah rendah yang berusia 10 tahun ke atas menggunakan telefon peribadi. Sejumlah 618 pelajar sekolah terlibat dengan tinjauan tersebut.