suria

Walau Beza Agama Rinto-Lily Kekal Hingga Ke Akhir Hayat

Lily solat bersebelahan keranda Rinto sebelum mendiang dikebumikan mengikut upacara agama Kristian.

JAKARTA: Perbezaan agama antara seniman Rinto Harahap dan isterinya, Lily Kuslolita tidak menghalang pasangan itu untuk kekal bersama sejak berumah tangga hingga ke akhir hayat.

Justeru, ketika jenazah Rinto terbaring di dalam keranda, isterinya tanpa teragak-agak melakukan solat di sisi.

Rinto lahir di Sibolga, Sumatera Utara pada Mac 1949 dan pernah popular sebagai pemuzik, penyanyi dan pencipta lagu.

Mendiang adalah seorang daripada anggota kumpulan pop The Mercy’s yang terkenal di Indonesia dan Malaysia pada 1970-an.

Dia meninggal dunia di Singapura akibat barah tulang pada 9 Februari lalu. Rinto berusia 65 tahun.

Sepanjang hidupnya, dia kekal beragama Kristian Protestan, manakala Lily beragama Islam.

Hasil perkahwinan beza agama itu, mereka dikurniai tiga orang anak, iaitu Cindy Claudia Harahap, Ratna Harahap dan Astri Maria Harahap.

Media Indonesia melaporkan, Lily lengkap bertelekung melakukan solat di sebelah jenazah Rinto sebelum dikebumikan menurut kepercayaan Kristian di Tanah Perkuburan Kampung Kandang.

Menurut media, anak pasangan itu, Cindy memeluk Islam ketika menuntut di Australia pada 1991.

Jenazah pencipta lagu Gelas-Gelas Kaca itu tiba di Indonesia pada malam Selasa.

Artikel Sebelum

Konflik Rusia-Ukraine Tamat

Artikel Lain