KAHERAH: Mesir yang inginkan sokongan ketenteraan daripada Barat dalam usahanya untuk menyerang kedudukan militan pro-Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) di Libya menerima maklum balas yang negatif apabila sebahagian besar negara Barat mahukan penyelesaian politik dan bukannya ketenteraan. Kuasa-kuasa Barat seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Itali mahukan satu penyelesaian politik kepada krisis yang sedang melanda Libya sekarang, dengan militan yang pro-Isis telah menguasai sebahagian besar bandar-bandar di pesisir pantai yang mengadap Laut Mediterranean. Secara tidak langsung, mereka menolak cadangan tindakan ketenteraan yang disyorkan oleh Mesir kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Libya. Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi telah pun melancarkan serangan udara ke atas kubu-kubu persembunyian militan Isis di Libya sebagai tindak balas ke atas tindakan mereka (militan berkenaan) menyebelih 21 warganya yang beragama Kristian di sebuah bandar pesisir pantai pada Isnin. Menurut Abdel Fattah, dunia tidak mempunyai pilihan melainkan melancarkan satu tindakan ketenteraan global ke atas ekstremis di Libya. Majlis Keselamatan PBB bagaimanapun akan bersidang pada Rabu atas permintaan Mesir itu. Perkara ini disahkan oleh Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry. Para diplomat Arab telah menyatakan persetujuan mereka dengan saranan Mesir itu tetapi pada masa yang sama menegaskan pandangan kerajaan Libya juga perlu turut diambil kira. Bagaimanapun, isu yang paling merumitkan ialah, kini terdapat dua buah kerajaan yang berfungsi di Libya iaitu satu yang disokong oleh dunia dan satu lagi kerajaan yang pro-Islamis. Kuasa Barat buat masa ini lebih cenderung untuk tidak campur tangan tetapi sebaliknya mahu kumpulan yang bertelegah di Libya mencari jalan perdamaian yang terbaik. Sejak Kolonel Muaamar Gaddafi digulingkan tiga tahun yang lalu, Libya ditadbir oleh kerajaan yang lemah dengan ketiadaan pemimpin yang berkarisma untuk menyatukan negara itu. Kerajaan yang dibentuk secara demokratik kemudiannya berpecah dua dengan satu berpindah ke Tobruk berhampiran dengan sempadan Mesir manakala satu lagi kekal di ibu negara, Tripoli. Insiden terbaru yang melibatkan pembunuhan ke atas 21 warga Mesir yang sedang bekerja di Libya telah mencetuskan pertanyaan siapakah yang sebenarnya berkuasa mentadbir Libya buat masa ini. Selepas insiden itu yang dirakamkan dimuatnaikkan dalam laman sosial dan internet, Mesir telah menyeru beribu rakyatnya yang masih bekerja di Libya supaya segera meninggalkan negara itu. Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi berkata; “Apa yang sedang berlaku di Libya adalah sangat-sangat rumit. Kami sedang mengikuti perkembangan di Libya secara serius dan mendalam tetapi kita tidak boleh bertindak secara histeria dan menunjukkan reaksi yang tidak munasabah." Libya adalah bekas tanah jajahan Itali. Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) dalam satu kenyataan menjelaskan yang mereka akan duduk berbincang berhubung tindakan yang perlu diambil ke atas Libya dengan Kerajaan Mesir dan Amerika minggu ini. EU seperti mana negara-negara Barat yang lain berpendapat, tidak perlu ada campurtangan ketenteraan ke atas Libya buat masa ini. Bagaimanapun Mesir yang tidak percaya kepada runding cara dalam penyelesaian dengan kumpulan pengganas berkata , kumpulan militan adalah pertubuhan pengganas yang tidak berpegang kepada janji dan tatacara rundingan.