BANGKOK: Kadar pekerjaan Thailand merosot pada suku keempat 2014 sebanyak 0.1 peratus kepada 38.3 juta. Laporan Pembangunan Sosial yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Sosial dan Ekonomi Negara (NESDB) berkata guna tenaga dalam sektor pertanian jatuh 4.9 peratus manakala guna tenaga dalam sektor bukan pertanian meningkat 2.5 peratus. "Kadar pengangguran dicatatkan pada 0.61 peratus, bagi suku tersebut, rendah berbanding 0.66 peratus dicatatkan pada tempoh sama tahun 2013. "Penurunan dalam guna tenaga sektor pertanian sebahagiannya diserap oleh sektor bukan pertanian apabila permintaan bagi tenaga kerja asas kekal tinggi. "Ini membantu mengurangkan masalah pengangguran dan kekurangan tenaga kerja dalam sektor bukan pertanian," katanya. NESDB berkata purata waktu kerja adalah 44.5 jam seorang seminggu iaitu 0.3 peratus rendah berbanding tempoh sama pada 2013. "Upah dan gaji dalam sektor swasta, tidak termasuk bayaran kerja lebih masa dan faedah lain, pada suku keempat 2014 meningkat 3.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2013 manakala upah dan gaji selepas tolak inflasi naik 1.3 peratus dan produktiviti tenaga kerja berkembang 1.1 peratus," katanya. Menurut NESDB, bagi 2014, pekerjaan jatuh 0.4 peratus dan kadar pengangguran pada 0.84 peratus.