suria

Serangan Di Kabul: Dua Disahkan Terkorban

Hancur musnah...serangan berani mati puak Taliban yang terbaru di bandar Kabul pada Khamis, 26 Feb 2015 telah menyaksikan dua orang terkorban.

KABUL: Serangan berani mati oleh puak Taliban yang mensasarkan kenderaan yang membawa diplomat Turki menyaksikan dua orang terkorban, demikian dilaporkan pada Khamis.

Serangan itu dilaporkan berlaku selepas pukul 8 pagi, tidak jauh dari Kedutaan Iran.

Polis mengesahkan, dua orang mangsa yang terkorban itu ialah seorang rakyat Turki dan seorang warga Afghan yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai ketika dihubungi agensi berita AFP memberitahu, penyerang berani mati itu memandu sebuah kereta Toyota Corolla dan cuba mensasarkan serangannya ke atas kenderaan milik Kedutaan Turki.

Seorang saksi Mohammad Yousuf, 17, menceritakan dia melihat bagaimana sebuah kereta berjenama Toyota tiba-tiba meletup dengan sangat kuat dan menjadikan keadaan sekitar huru-hara.

Ini adalah serangan maut yang pertama berlaku di tengah-tengah bandar ini yang dikawal rapi sejak Januari.

Pada awal Januari baru-baru ini, sebuah kenderaan milik pasukan pemerhati keselamatan Kesatuan Eropah menjadi sasaran pengebom berani mati, mengorbankan seorang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Selepas lebih 13 tahun pemerintahan Taliban dijatuhkan di Afghanistan, pemberontakan mereka masih dirasai dan tidak dapat dibendung oleh pihak berkuasa.

Pertubuhan Negara-Negara Atlantik Utara atau Nato telah pun menamatkan misi mereka di Afghanistan Disember lalu, hanya meninggalkan beberapa unit anggota tentera untuk melatih kakitangan keselamatan tempatan yang kini berjumlah 350,000 anggota.

Ketua Pegawai Eksekutif Afghanistan, Abdullah Abdullah hanya pada Isnin lalu mengumumkan bahawa dialog dengan pihak Taliban akan dimulakan tidak lama lagi yang dijadualkan bakal berlangsung di Qatar.

Pertemuan-pertemuan sebelum ini semuanya tidak membuahkan hasil.

Artikel Lain