suria

Identiti Jihadi John Dikenal Pasti

Jihadi John dengan aksinya sebelum bertindak menyembelih para tebusan negara asing di Syria. Dia bertutur dalam loghat British yang tebal sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai negara asalnya dan siapakah dia.

> Akhbar The Daily Mail mendedahkan siapakah Jihadi John yang bertanggungjawab menyembelih para tebusan yang ditahan di Syria

> Nama sebenar Jihadi John ialah Mohammad Emwazi

> Dia dilahirkan di Kuwait tetapi berhijrah ke London bersama keluarga pada usia 6 tahun pada 1993

> Bapanya adalah seorang pemandu teksi di London

> Bersekolah di West London dan disukai ramai sebagai seorang yang tertib dan sopan

> Guru-guru menyifatkan dia sebagai seorang murid yang pintar

> Lulus dalam bidang sains komputer dari University of Westminster pada 2009

> Juga mempunyai kelulusan dalam pengajian bahasa Inggeris

LONDON: Penyembelih tebusan Negara Islam Syria dan Iraq (Isis) yang lebih dikenali sebagai Jihadi John kini telah dikenalpasti adalah seorang warga Britain berketurunan Arab Kuwait bernama Mohammad Emwazi.

Keluarganya berasal dari Kuwait dan mereka berhijrah ke United Kingdom ketika Mohammad berusia enam tahun.

Bapanya kemudian bekerja sebagai pemandu teksi dan mereka bermastautin di Queens Park, London.

Ketika di sekolah, rakan-rakan menyifatkannya sebagai seorang budak yang pendiam tetapi popular dan lebih menunjukkan minat terhadap bolasepak.

Mohammad Emwazi (dalam bulatan) bergambar bersama rakan sekelas ketika berada di sekolah rendah St Mary Magdalene Church of England, Barat London.

Manakala para guru pula mengingatinya sebagai seorang yang sentiasa bekerja keras dan tekun.

Menurut data yang diperolehi Daily Mail, Mohammad telah ke Syria pada 2012 tetapi sebelum itu, agensi perisikan UK, MI5 dan pihak polis telah bertemu dan berhubung dengannya sebanyak 12 kali berhubung aktivitinya di luar negara.

Dia menjadi popular selepas muncul dalam video yang menunjukkan mereka menyembelih warga Britain David Haines dan Alan Henning, wartawan Amerika, James Foley dan Steven Sotloff serta wartawan Jepun, Kenji Goto.

Jihadi John bersama Kenji Goto sebelum menyembelih wartawan dari Jepun itu.

Dalam video itu Mohammad bertutur dalam loghat British yang tebal sekaligus mencetuskan tanda tanya siapakah dia dan dari mana dia berasal. Media massa Britain selepas itu menggelarnya dengan panggilan Jihadi John.

Menurut Daily Mail, selepas memperolehi ijazah sarjana muda dari University of Westminster, Mohammad telah ke Tanzania bersama dua lagi kawan.

Bagaimanapun mereka ditahan di lapangan terbang Dar-es-Salaam dan tidak dibenarkan memasuki Tanzania.

Mereka kemudiannya telah dihantar pulang menerusi Schipol, Amsterdam, Belanda dan setibanya di sana mereka telah ditahan sekali lagi dan disoalsiasat oleh agen-agen MI5 yang mengesyaki mereka ke sana untuk ke Somalia dan menyertai gerakan ekstremis disana.

Mereka dibenarkan pulang ke UK tetapi sebaik sahaja tiba di Dover, mereka sekali lagi ditahan dan disoal siasat oleh pasukan anti-pengganas UK.

Menjelang September 2009, Mohammad telah kembali ke Kuwait untuk tinggal bersama keluarga bapanya.

Selepas lapan bulan bekerja di Kuwait, pada Mei 2010, dia kembali ke UK selama lapan hari untuk menziarahi keluarganya.

Tetapi sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, dia sekali lagi ditahan dan disoal siasat namun dilepaskan.

Selepas kembali semula ke Kuwait selama beberapa bulan, Mohammad sekali lagi membuat keputusan untuk pulang ke UK dan sekali lagi dia ditahan di Heathrow dan disoal siasat selama enam jam.

Apabila dia hendak kembali ke Kuwait, dia dimaklumkan oleh pegawai Imigresen yang visanya telah dibatalkan. Mohammad terus kekal di UK.

Kemudian pada 2012, Mohammad memperolehi sijil mengajar bahasa Inggeris dan memohon untuk mengajar bahasa Inggeris di Arab Saudi tetapi permohonannya telah ditolak.

Pada 2013, Mohammad secara tiba-tiba menukar namanya kepada Mohammed al-Ayan.

Selepas menukar namanya, dia cuba untuk sekali lagi ke Kuwait tetapi gagal selepas dia ditahan dan disoal siasat di lapangan terbang.

Tiga hari selepas itu, Mohammad menghilangkan diri sekaligus memaksa keluarganya membuat laporan polis di atas kehilangannya.

Tetapi empat bulan kemudian polis telah berkunjung ke rumahnya dan memaklumkan kepada ahli keluarganya yang mereka memperolehi maklumat yang Mohammad telah memasuki Syria.

Jihadi John, Isis, Britain, The Daily Mail

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Empat Termasuk Polis Ditembak Mati

Artikel Lain