suria

Pencuri Dedah Hasil Curi RM11.16 Juta Sejak Hampir Empat Dekad

Kim Farry dengan kehidupan mewahnya yang gemar berfesyen.

SEORANG pencuri, Kim Farry membuat pendedahan mengenai hasil curiannya kini berjumlah hampir 2 juta pound (RM11.16 juta) sejak dia melakukan aktiviti itu pada usia sembilan tahun.

Malahan katanya, dia turut melatih sebahagian daripada enam anaknya untuk mencuri.

Dengan kehidupan sebagai pencuri itu, wanita berusia 44 tahun berkenaan dapat menikmati hidangan mewah, percutian esotik dan tiga pembedahan plastik payu dara tetapi hidup menyewa di sebuah kediaman di bawah majlis perbandaran dengan peruntukan sebagai wang sara diri sebanyak 556 pound (RM3,103.97).

Kim Farry berkata: "Saya tidak malu apa yang telah saya lakukan, saya berbangga.

"Saya dapat berjuta-juta dan mempunyai kehidupan di mana orang kebanyakan hanya mampu untuk mengimpikannya.

"Ia benar-benar menyakitkan hati saya apabila orang mengatakan saya tidak mempunyai pekerjaan kerana saya pernah bekerja menerusi perniagaan saya tanpa henti sejak hampir empat dekad. Namun 'perniagaan' saya itu adalah mencuri."

Kim mendakwa dia terlibat untuk melakukan aktiviti itu bagi memperoleh kehidupan yang lebih baik buat diri dan keluarganya.

Bagaimanapun, Kim enggan untuk melepaskan gaya hidup mewahnya, dan meminta seseorang untuk memberikannya kerja yang baik kepadanya sekiranya dia tidak mendapat peruntukan sara diri yang lebih besar.

Terdapat pihak lain memberitahu bahawa Kim tidak berbuat apa-apa selama lapan minggu setakat ini, tetapi tidak tahu berapa lama ia akan berlanjutan sebelum dia kembali untuk mencuri.

Kata Kim kepada akhbar Sunday People: "Saya akan cuba untuk beralih daripada kekayaan kepada kehidupan susah. Tetapi mengapa saya perlu melepaskan kehidupan mewah itu untuk kesusahan ini? Ia merupakan tempoh paling lama saya tidak mencuri sejak saya melakukannya semasa zaman kanak-kanak.

"Saya sudah biasa hidup mewah dan tidak pernah risau mengenai wang. Kini saya perlu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan makanan saya.

"Hanya satu sebab saya mahu berhenti (mencuri) sekarang supaya anak perempuan saya tidak menerima kesan daripada apa yang telah saya lakukan. Saya sudah cukup kehilangan orang yang saya sayang akibat jenayah yang saya lakukan ini dan saya tidak mahu kehilangan dia.

"Anak saya Paris semakin dewasa membuatkan saya sedar inilah peluang terakhir untuk memperbetulkan keadaan sebagai seorang ibu. Saya mahu dia bergaul dengan teman-temannya tanpa perlu bimbang menjadi mangsa kritikan ekoran tindakan saya.

"Tetapi jika saya tidak dapat lebih banyak wang secara sah, saya tidak tahu berapa lama lagi saya boleh melalui keadaan ini. Jika seseorang menawarkan saya kerja, saya akan menerimanya dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

"Saya benar-benar tidak mahu kehilangan anak perempuan saya tetapi saya sukar untuk meninggalkan kehidupan mewah.

"Saya memerlukan bantuan dan saya berharap seseorang akan mendengar luahan saya ini dan tampil untuk membantu. Jika tidak, hanya masa yang menentukan sebelum saya memutuskan untuk keluar mencuri lagi," katanya. - mirror.co.uk

Kim Farry

Artikel Berikut

Artikel Lain