suria

Pemandu Teksi Bermurah Hati Kirim Barang Dicicirkan Penumpang

SEORANG pendandan rambut bernasib baik apabila beg duit yang ditinggalkannya di tempat duduk belakang sebuah teksi dikembalikan.

Malah Josie Chan cukup bertuah apabila barang miliknya itu dikembalikan oleh seorang pemandu teksi Uber melalui penghantaran pos.

Dia menulis di Twitter: "Saya terharu, tidak terkata. Terima kasih Encik Jamshid @Uber_LDN yang bermurah hati menghantar kad bank dan lesen memandu saya. Terima kasih!"

Di dalam bungkusan itu turut mempunyai sekeping nota yang ditulis oleh pemandu berkenaan yang berbunyi:

"Satu lesen memandu, satu kad simpanan Natwest, satu kad debit visa Natwest dan sekeping wang tunai £20 (RM111.46). Saya pemandu teksi dari syarikat Uber. Nama saya Jamshid. Awak tertinggal barang-barang ini tiga hari lalu."

Josie memberitahu akhbar The Mirror: "Saya menyimpan semua kad dan lesen memandu saya di dalam sebuah beg kecil yang mungkin tercicir dari poket saya sewaktu menaiki teksi pada Sabtu lalu.

"Saya hanya menyedari kehilangannya pada pagi ini apabila mahu ke bank. Saya menghabiskan masa dua jam mencarinya di rumah dan rakan serumah saya kemudiannya memberitahu bahawa saya mempunyai penghantaran istimewa.

"Pemandu teksi tersebut menghantar semula kesemua barang saya. Dia membelanjakan £6.40 (RM35.68) untuk kos penghantaran itu sedangkan tambang teksi yang saya bayar tempoh hari hanya £5 (RM27.87)!

"Saya amat berterima kasih kepada pemandu itu dan saya fikir untuk mengirimkannya sekotak coklat atau lain. Malah dia mengirimkan semula sekeping wang tunai £20 kepunyaan saya."

Seorang jurucakap dari Uber London berkata: "Saya mahu meminta kepada semua pemandu untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik buat pelanggan. Ini bukan pertama kali kita diberikan penghargaan di atas kemurahan hati seorang pemandu, dan ia sudah tentu bukan yang terakhir." - mirror.co.uk


Artikel Lain