suria

Serang Duta AS: Lelaki Dituduh Cuba Membunuh

Kim dituduh cuba membunuh Lippert.

SEOUL: Lelaki yang bertindak menyerang Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke negara itu dengan pisau didakwa kerana cubaan membunuh pada Jumaat.

Selain itu polis Korea Selatan juga menjalankan siasatan bagi mengesan jika lelaki itu ada hubung kait dengan pihak Korea Utara.

Kim Ki-Jong, 55 juga berhadapan dakwaan kerana bertindak ganas terhadap diplomat asing selepas mengelar Mark Lippert menggunakan pisau cukur yang mengakibatkan wakil AS itu menerima 80 jahitan pada mukanya, lapor agensi berita Yonhap.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki itu dan kini ditempatkan bawah pemerhatian pihak berkuasa di sini.

Berdasarkan penyelidikan, profil Kim menyifatkan dia seorang yang bertindak sendirian dan memiliki pandangan nasionalis yang kukuh dan menganggap AS sebagai halangan untuk penyatuan semula antara Korea Utara dan Selatan.

Siasatan juga mendapati, Kim melawat Korea Uara lebih enam kali antara 2006 dan 2007 dan cuba mendirikan memorial kepada Kim Jong-II di sini selepas kematian pemimpin itu pada 2011.

Dalam serangan pada Khamis itu, saluran berita YTN yang memetik sumber polis berkata, seorang lelaki yang mempunyai pisau cukur pada tangan kanannya menyerang Lippert sewaktu duta besar itu menghadiri majlis sarapan pagi di tengah bandar Seoul.

Saluran berita itu memaparkan sekeping gambar menunjukkan duta itu berlumuran darah sambil tangan kanannya memegang pipi kanannya, dengan tangan kirinya juga mempunyai kesan darah.

Lippert, 42, dibawa ke hospital, tetapi kecederaan yang dialaminya dilaporkan tidak parah.

Penyerang yang dilaporkan melaungkan slogan anti peperangan ketika membuat serangan ke atas Lippert yang baharu sahaja memegang jawatan tersebut di Seoul pada Oktober tahun lalu, telah ditahan serta-merta.

AS dan Korea Selatan melancarkan gerakan tentera bersama pada minggu ini, menimbulkan ketegangan dengan Korea Utara.

Artikel Lain