LONDON: Pengacara program kereta popular, Jeremy Clarkson telah digantung tugas dari program Top Gear selepas dia didapati menumbuk penolong penerbit rancangan itu kerana berang tiada makanan disediakan di lokasi pengambaran. Penolong Penerbit yang menjadi mangsa tumbukannya itu dikenali sebagai Oisin Tymon, 36. Portal berita, Mail Online melaporkan yang penerbit rancangan Top Gear, British Broadcasting Corporation (BBC) tidak dapat menahan sabar lagi dengan tingkah laku Clarkson, 54, yang memang dikenali sebagai seorang yang panas baran dan seringkali memberi komen yang menjejaskan reputasi stesen televisyen berkenaan. Sehubungan dengan itu, BBC memaklumkan yang Top Gear tidak akan ke udara Ahad ini sebagaimana yang dijadualkan sementara menunggu siasatan lanjut. Pada masa yang sama, stesen televisyen saingan BBC, iaitu ITV dikatakan telah bersedia menawarkan kontrak bernilai £10 juta kepada Clarkson untuk berpindah stesen. Para peminatnya telah beralih ke laman sosial untuk menghentam BBC kerana membelakangkan peminat Top Gear dengan menghentikan siaran itu ibarat seperti gantung tak bertali. Bapa kepada tiga orang anak itu dikatakan telah menumbuk Tymon yang telah 10 tahun berkhidmat dengan program Top Gear dan bertanggungjawab menerbitkan 75 episod apabila dia sedar yang tiada hidangan makan malam disediakan di tempat pengambaran setelah mereka penat merakamkan satu episod sepanjang hari. "Semua orang tergamam melihat Jeremy melepaskan tumbukan ke arah muka Tymon sebaik sahaja dia dapati tiada makanan disediakan untuk krew yang membuat pengambaran di lapangan," kata seorang saksi. Satu sumber dalaman BBC memberitahu yang Clarkson telah dipanggil mengadap pengurusan tertinggi stesen televisyen itu dan Ketua Pengarah BBC, Tony Hall bersetuju dengan keputusan untuk mengantungkan khidmatnya sementara menunggu siasatan dalaman selesai. Pada masa yang sama, satu laporan polis telah dibuat ke atasnya, dipercayai oleh mangsa tumbukkannya. Clarkson menjadi jutawan menerusi rancangan Top Gear dan kini dikatakan memiliki aset bernilai £30 juta selepas dia menjual kepentingannya di dalam rancangan tersebut kepada BBC sebanyak £13 juta pada tahun 2012. Dia enggan membuka mulut ketika dia ditanya mengenai tindakan pengantungan ke atasnya itu. Walaupun seringkali diselubungi kontroversi tetapi Top Gear kekal sebagai program paling popular di rangkaian BBC dan ditayangkan di 214 buah negara di seluruh dunia. BBC diketahui membuat begitu banyak keuntungan menerusi program tersebut. Clarkson menjadi hos kepada program yang memperkatakan pelbagai aspek mengenai kenderaan sejak tahun 2002. Dia biasanya memandu uji sesebuah kereta itu ke tahap yang maksimum dan tidak pernah mengendurkan komennya untuk menjaga hati pengeluar kereta.