FERGUSON: Dua anggota polis ditembak dan mengalami kecederaan semasa perhimpunan bantahan di Ferguson, Missouri, awal hari Khamis, beberapa jam selepas ketua polis di bandar ini meletak jawatan berikutan laporan Jabatan Kehakiman AS yang mendapati pasukannya berat sebelah dan bersifat perkauman. Kejadian tembak ke atas pegawai tersebut, yang kini berada dalam keadaan serius di sebuah hospital tempatan, berlaku selepas kegawatan selama beberapa bulan di pinggir bandar St Louis di Ferguson, kawasan di mana tercetusnya pembunuhan seorang remaja kulit hitam yang tidak bersenjata oleh seorang anggota polis kulit putih Ogos lalu. Kematian remaja berusia 18 tahun, Michael Brown menyebabkan Ferguson menjadi tumpuan perdebatan nasional berhubung penguatkuasaan undang-undang kekerasan yang digunakan terhadap kumpulan minoriti, khususnya terhadap lelaki hitam, dan membawa kepada protes selama beberapa bulan di seluruh negara. Pada Khamis, pemburuan sedang dijalankan selepas dua pegawai telah terkena tembakan di luar ibu pejabat polis Ferguson semasa perhimpunan protes beberapa jam selepas peletakan jawatan Ketua Polis Thomas Jackson. Kedua-dua pegawai yang ditembak bukan sebahagian daripada anggota pasukan polis Ferguson, yang hampir keseluruhannya berkulit putih, manakala majoriti penduduk di bandar ini adalah Afrika-Amerika. Seorang pegawai berusia 41 tahun dari St Louis County Police telah terkena tembakan di bahu dan seorang pegawai berusia 32 tahun dari Jabatan Polis dekat Webster Groves terkena tembakan hampir mengenai bahagian muka. "Pegawai-pegawai polis berdiri di sana dan mereka ditembak, hanya kerana mereka adalah pegawai polis," kata Ketua St Louis County Jon Belmar kepada pemberita awal hari Khamis. "Saya telah berkata selama ini bahawa kita tidak boleh bertahan selama-lamanya tanpa sebarang masalah," katanya, merujuk kepada ketegangan yang membarah di bandar itu sejak kematian Brown pada musim panas lalu.