suria

Kuan Yew Makin Kritikal - PMO

SINGAPURA: Keadaan kesihatan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew semakin kritikal, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Sabtu.

Bapa pemodenan republik itu yang berusia 91 tahun sedang menjalani rawatan di hospital setelah menghadapi masalah radang paru-paru sejak 5 Februari.

"Keadaan Lee Kuan Yew bertambah teruk," menurut kenyataan terkini yang dikeluarkan, iaitu sehari selepas kerajaan mengumumkan Kuan Yew berada dalam keadaan kritikal.

Penduduk Singapura telah meletakkan bunga, kad dan hadiah di Hospital Besar Singapura untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin itu.

Brenda Chua Jock Suan, 63, seorang pesara, melawat hospital setiap hari dan menggalakkan anak-anaknya untuk melakukan perkara sama.

Katanya, Kuan Yew seorang pemimpin yang hebat sehingga berjaya menjadikan Singapura sebagai sebuah negara yang memiliki hab kewangan yang kukuh pada masa ini.

"Saya melawatnya setiap hari kerana tidak mahu beliau menderita.

"Saya tidak membeli bunga atau kad tetapi saya berharap doa saya mampu meringankan bebannya," kata Jock Suan.

Kuan Yew adalah tokoh politik utama dalam sejarah Asia moden kerana berjaya menjadikan Singapura dari kota jajahan British kepada negara yang mempunyai kuasa besar serta memperoleh pendapatan paling tinggi per kapita di dunia.

Walaupun tidak aktif lagi dalam politik, namun rakyat masih mengambil berat soal kesihatannya kerana beliau dilihat sebagai seorang tokoh berpengaruh.

Anaknya, Lee Hsien Loong telah menjadi Perdana Menteri Singapura sejak 2004.

"Walau apa pun terjadi, hidup mesti diteruskan.

"Singapura tidak diuruskan oleh seorang sahaja. Kami mempunyai kerajaan sedia ada yang bagus dan komited untuk negara ini, cuma tanpa Lee (Kuan Yew) disisi," kata warga Singapura, Tan Kim Lee ketika ditanya tentang masa depan Singapura tanpa Kuan Yew. - Reuters



Artikel Lain