MEXICO: Empat maut dan 16 tercedera selepas berlaku letupan di pelantar minyak yang dikendalikan oleh Mexico Pemex pada Rabu sehingga memaksa 300 orang dipindahkan. Berikutan kebakaran di pelantar minyak itu lapan kapal pemadam dengan meriam air dikerahkan ke platform Abkatun A-Permanente di Teluk Mexico, Campeche. Letupan berlaku pada pukul 3.40 pagi di kawasan platform dehidrasi dan pam yang terletak di luar pantai, timur Campeche, menurut satu kenyataan agensi keselamatan tenaga ASEA. "Kebakaran tersebut diluar kawalan dan gagal dipadamkan," kata jurucakap Pamex kepada AFP sambil menambah letupan tersebut tidak mencetuskan tumpahan minyak. Selain itu, jurucakap tersebut berkata, seramai 16 mangsa dimasukkan ke hospital dan dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal. Seramai 45 mangsa yang lain menerima rawatan pesakit luar dan kebanyakan mereka dibenarkan pulang kerana hanya mengalami kecederaan ringan. Kira-kira 300 pekerja telah dipindahkan ke platform lain manakala mangsa yang tercedera dibawa ke hospital Pemex di Ciudad de Carmen. AFP turut menerima rakaman video yang diambil dari sebuah bot yang menunjukkan api besar dan asap menyelubungi platform itu pada waktu malam.