suria

Andreas Lubitz Cari Maklumat Bunuh Diri

Ketua Polis serantau Perancis, David Galtier menunjukkan rakaman imej kotak hitam kedua yang berjaya ditemui.
DUESSELDORF, Jerman: Pembantu juruterbang yang didakwa sengaja menghempaskan pesawat Germanwings ke pergunungan Alps Perancis, membuat carian di internet mengenai cara untuk membunuh diri sehari sebelum nahas yang mengorbankan 150 nyawa.

Mengikut penyiasat Jerman, komputer yang ditemui di rumahnya juga menunjukkan Andreas Lubitz, 27, ada membuat carian mengenai pintu kokpit dan langkah-langkah keselamatan berkaitan penerbangan.

Bukti yang menjurus kepada persediaan untuk membunuh diri semakin jelas apabila polis Perancis menemui kotak hitam kedua (Perakam Data Penerbangan), sembilan hari selepas operasi pencarian dijalankan.

Penemuan itu sekali gus membolehkan penyiasat meneliti bagaimana Lubitz membuat tetapan pada pesawat supaya ia merempuh kawasan pergunungan.

Jika kotak hitam itu masih dalam keadaan baik, ia akan memberikan pelbagai bacaan termasuk tetapan yang dikeluarkan daripada tempat duduk pembantu juruterbang pesawat itu.

Pihak berkuasa Perancis akan meneliti kotak hitam tersebut dan kemudian membuat padanan dengan maklumat daripada kotak hitam pertama yang sudah ditemui sebelum ini, serta maklumat daripada radar daratan.

[ Type in your image caption here ]

Lubitz didakwa sengaja menghempaskan pesawat tersebut di Pergunungan Alps Perancis.

"Masih ada harapan data dalamnya masih elok walaupun kotak hitam itu rosak," kata ketua pasukan penyiasat Perancis, Brice Robin.

Robin sebelum ini mengejutkan dunia penerbangan apabila menyatakan maklumat daripada perakam suara yang ditemui beberapa jam selepas nahas menunjukkan Lubitz sengaja menghempaskan pesawat itu selepas mengunci juruterbang di luar kokpit.

Bagaimanapun, sehingga kini pasukan penyiasat masih tertanya-tanya kesahihan dakwaan itu.

Sementara itu, penyiasat Jerman berkata, Lubitz turut mencari maklumat mengenai cara untuk membunuh diri menerusi carian di komputernya antara 16 hingga 23 Mac lalu, iaitu sehari sebelum nahas membabitkan pesawat tersebut.

Pesawat dalam penerbangan dari Barcelona ke Duesseldorf, Jerman terhempas kira-kira 52 minit selepas berlepas.

Sumber berkata, pesawat itu mengeluarkan isyarat kecemasan pada pukul 9.47 pagi waktu tempatan (5.47 petang waktu Malaysia).

Pesawat berkenaan merupakan anak syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa.

Germanwings, Andreas Lubitz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ops Judi Khas: 1,071 Ditahan

Artikel Lain