BAGHDAD: Berang dengan tindakan komandernya melarikan diri semasa pertempuran dengan tentera Iraq, kumpulan militan Negara Islam (IS) dilapor bertindak menembak mati anggota mereka itu. Empat komander kanan IS di wilayah utara Salahuddin itu berdepan hukuman itu selepas kepimpinan kumpulan pengganas itu tidak berpuas hati dengan tindakan mereka. Kesemua komander terbabit melarikan diri semasa bertempur di bandar Muqdadiyah. Bagaimanapun, mereka diburu sebaik pihak IS tahu mengenainya dan berjaya ditahan dua bulan lalu. Sumber keselamatan berkata, hukuman terhadap empat komander itu dilaksanakan di pinggir bandar Shiqrat selepas menerima arahan pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi. Pada Februari, IS menembak mati puluhan anggotanya di bandar Tal Afar kerana melarikan diri semasa pertempuran dengan pejuang Pashmerga. Malahan, kumpulan pengganas itu juga pernah mengenakan hukuman mati terhadap anggotanya kerana tidak setuju dengan gaya hidupnya umpama seorang gay.