SYDNEY: Ribut melanda pantai timur Australia sepanjang tiga hari, mengakibatkan kerosakan mencecah jutaan dolar membabitkan hartanah dan infrastruktur di sini dan beberapa bandar lain. Tiga warga emas dilaporkan maut di Dungog, utara Sydney apabila bencana itu menghanyutkan rumah mereka. Kejadian itu juga menyebabkan bekalan elektrik di lebih 200,000 kediaman terputus, manakala kapal peranginan tersasar haluan. Lebih 100 penduduk juga terpaksa diselamatkan apabila terperangkap dalam kejadian itu, termasuk menggunakan helikopter untuk operasi menyelamat dan menghantar bekalan ke kawasan yang paling teruk terjejas seperti Dungog. Agensi Cuaca Australia mengeluarkan amaran ribut kedua bakal menyusul dari utara Sydney, manakala Biro Meteorologi memaklumkan angin berkelajuan sehingga 100 kilometer sejam mungkin berlaku di sepanjang pantai, selain ribut petir, demikian lapor Reuters. Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) telah menerima hampir 9,000 panggilan kecemasan untuk bantuan dan telah menyelamatkan 93 mangsa banjir. Sementara itu BBC News pula melaporkan, beberapa tempat di daerah tenggara Australia diisytiharkan kawasan bencana alam. “Kami menjangkakan angin, hujan, banjir kilat, akan berterusan dan masih berbahaya. Tetapi kita masih tidak dapat meramalkan untuk 48 jam akan datang,” kata NSW Premier Mike Baird, seperti yang dipetik ABC News.