Menurut polis, remaja tersebut ditahan pada 2 April di Blackburn, utara England selepas pegawai anti-pengganas memeriksa beberapa 'alat peranti elektronik' yang mendedahkan komunikasinya dengan seorang lelaki di Australia.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata keadaan ini menyebabkan satu serbuan yang disertai oleh beratus-ratus polis Australia dijalankan di Melbourne pada Sabtu dan membawa kepada penangkapan lima remaja yang merancang untuk melakukan serangan berunsurkan IS pada satu majlis peringatan Perang Dunia Pertama minggu ini.
Timbalan Ketua Anti-Pengganas, Deborah Walsh berkata remaja lelaki tersebut akan menghadapi dua tuduhan kerana menghasut serangan keganasan di luar negara.
"Dakwaan kedua adalah defendan menghasut orang lain untuk melakukan pemancungan kepala di Australia pada 18 Mac," katanya dalam satu kenyataan.
Remaja tersebut yang dirahsiakan namanya atas faktor undang-undang, hadir di Mahkamah Majistret Westminster London pada Jumaat.
Selain itu, lebih 200 pegawai mengambil bahagian dalam serbuan di Australia yang dirancang sebulan lebih awal dan membuahkan hasil apabila berjaya membuat tangkapan ke atas lima lelaki berusia 18 hingga 19 tahun.