Ketua Polis Thailand, Jen Pol. Somyod Pumpanmuang berkata pihak polis dan tentera Thai telah ke Kg Taluk, di Mukim Padang Besar, Sadao, Songkhla dan menemui kem warga asing dan lubang di bukit itu.
Polis juga menemui mayat warga Rohingya yang dipercayai meninggal dua hari lepas dan seorang lagi yang demam teruk yang kemudiannya dibawa ke Hospital Padang Besar.
Beliau berkata warga asing dalam kem itu adalah daripada kumpulan yang sama dengan yang ditahan di daerah Huasai, Wilayah Nakhornsri Thammarat baru-baru ini.
"Hari ini pihak berkuasa baru menggali lima lubang dan empat mayat ditemui.Lubang akan digali lagi esok untuk doktor sama-sama menyiasat punca kematian," katanya.
Lt Jen Pol. Decha Butnampech, Ketua Polis Bahagian Ke-8 berkata pihaknya akan menyiasat sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan proses pemerdagangan manusia dan pihak yang terlibat.