KATHMANDU: Polis Nepal dan pasukan sukarelawan tempatan menemui kira-kira 100 mayat penjejak (trekker) dan penduduk kampung tertimbus di sebalik runtuhan salji akibat gempa bumi yang melanda negara itu bulan lalu, kata pegawai pada Isnin.
Semua mayat ditemui pada Sabtu dan Ahad lalu di kampung Lantang, kira-kira 60 kilometer utara Kathmandu, yang menjadi laluan 'trekking' popular terutama di kalangan penjejak dari Barat.
"Anggota polis dan sukarelawan tempatan menggali runtuhan salji sedalam enam kaki untuk mencari lebih banyak mayat," kata Gautam Rimal, penolong ketua daerah Langtang.
Beliau berkata, daripada jumlah 100 mayat itu, sekurang-kurangnya tujuh warga asing dikesan dan hanya dua yang dikenal pasti.
Bagaimanapun, tidak dipastikan berapa ramai yang berada di Langtang ketika gempa bumi berlaku tetapi pegawai lain berkata, kira-kira 120 lagi orang mungkin masih tertimbus di sebalik runtuhan salji.
Kerajaan Nepal berkata, gempa bumi yang berlaku pada 25 April lalu itu mengorbankan 7,276 orang dan lebih 14,300 orang cedera. - REUTERS