suria

IS Mengaku Serang Pameran Di Dallas

Dua lelaki ditembak selepas melancarkan serangan pada program pameran yang menganjurkan pertandingan lukisan kartun Nabi Muhammad SAW di Dallas, dua hari lalu.

KAHERAH: Selepas dua hari, militan Negara Islam (IS) tampil membuat pengakuan bertanggungjawab menyerang pameran yang menganjurkan pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW di Dallas, Texas.

Kumpulan pengganas itu membuat kenyataan menerusi audio yang disiarkan stesen radionya, Al Bayan yang berpangkalan di Raqqa, Syria.

"Dua askar kerajaan khalifah melaksanakan serangan itu selain berjanji akan melakukan lebih banyak serangan pada masa akan datang.

“Kami memberi amaran kepada Amerika Syarikat, apa yang bakal dilaksanakan askar kami akan lebih memeritkan,” katanya.

Bagaimanapun, ia tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung perancangan IS seterusnya, malahan belum jelas sama ada kumpulan itu hanya mahu mengambil kesempatan terhadap serangan itu.

Setakat ini, kejadian dua hari lalu itu adalah yang pertama diakui dilakukan kumpulan itu di Amerika Syarikat.

Dalam kejadian itu, dua lelaki ditembak mati di Garland, Dallas, selepas melepaskan tembakan terhadap pengawal keselamatan di luar pusat pameran berkenaan.

Suspek dikenal pasti sebagai Elton Simpson dan Nadir Soofi.



IS, Dallas, Nabi Muhammad SAW

Artikel Lain