SEBUAH penerbangan Thomas Cook terpaksa membuat pendaratan cemas berikutan pergaduhan yang berlaku antara penumpang mabuk dengan penumpang lain dalam pesawat pada pagi Rabu. Portal Mail Online melaporkan pesawat dalam penerbangan dari Glasgow, United Kingdom ke Dalaman, Turki itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Gatwick di London. Difahamkan, kekecohan yang berlaku antara penumpang itu memaksa kru kabin menghubungi pihak polis berhubung insiden tersebut. Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun sebaik sahaja pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Gatwick. Lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki mabuk dalam pesawat. Seorang penumpang berkata, terdapat pasangan dipercayai minum sehingga mabuk sebelum menaiki pesawat. "Berlaku kekecohan dalam pesawat sehingga memaksa ia dilencongkan Gatwick dan pihak polis terpaksa mengatasi kejadian yang berlaku," katanya. Seorang jurucakap polis Sussex berkata: "Pihak polis menahan seorang lelaki dalam pesawat Thomas Cook yang tiba pada pukul 11.45 pagi Rabu (6.45 petang Rabu waktu Malaysia) selepas dilencongkan dalam penerbangan dari Glasgow ke Turki. Penumpang berusia 34 tahun itu disyaki mabuk dalam pesawat. "Tiada kecederaan atau kerosakan yang dilaporkan. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut. "Dua wanita bersama lelaki itu tidak ditahan," katanya. Seorang jurucakap Thomas Cook Airlines berkata: "Kami mempunyai polisi sifar toleransi terhadap sebarang tingkah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan kebajikan kru dan pelanggan kami. "Kami mahu berterima kasih kerana semua penumpang yang sabar di atas kelewatan penerbangan ke Turki," katanya. - MAIL ONLINE