TOKYO: Wanita Jepun berusia 86 tahun ditahan selepas dikesan mengambil wang pencen ibu bapanya selama kira-kira 50 tahun selepas mereka meninggal dunia, menurut polis di daerah Ena, pada Jumaat. Mitsue Suzuki dipercayai mengumpul lebih 50 juta yen (AS$420,000) sejak lima dekad apabila ibu bapanya meninggal dunia pada 1960-an. Ia adalah kes terbaharu di Jepun di mana dikesan wang milik penama yang sudah meninggal dunia masih ditunaikan. Malahan, ada juga kes di mana penuntut tinggal bersama mayat yang kebiasaannya ahli keluarga mereka dengan alasan untuk mendapatkan bayaran itu. Kes membabitkan Suzuki dikesan apabila pegawai agensi persaraan negara itu menghubungi pihak berkuasa tempatan di Gifu untuk bertanyakan mengenai keadaan kesihatan pasangan yang sepatutnya sudah berusia 110 tahun bagi ibunya, manakala bapanya berusia 112 tahun. Bagaimanapun, pegawai berkenaan memaklumkan bahawa kedua-duanya sudah lama meninggal dunia dan sijil kematian juga sudah dikeluarkan pada 1960-an, di mana ibu Suzuki meninggal dunia pada 1965, manakala bapanya pula tiga tahun kemudian. Pegawai polis Gifu pula memaklumkan AFP, Suzuki ditahan pada Khamis kerana didakwa menerima 2.6 juta yen antara April 2013 dan Disember 2014. Pasukan penyiasat kini sedang berusaha untuk mengesahkan tempoh masa sebenar Suzuki mula mengambil wang milik ibu bapanya secara tidak sah. Bagaimanapun, Suzuki tetap menafikan dia melakukan sebarang kesalahan semasa ditahan dan keterangannya diambil. Pada 2010, polis menahan sekeluarga di sini kerana didakwa mengumpul 18 juta yen wang pencen untuk tempoh 30 tahun selepas kematian Sogen Kato. Keluarga Kato tidak melaporkan kematiannya dan menyimpan mayatnya yang dijadikan mumia di kediaman mereka dengan alasan Kato mahu menjadi Buddha. Susulan kejadian itu, Kementerian Kesihatan menjalankan siasatan menyeluruh dengan memfokuskan kepada kehilangan warga tua yang masih menerima wang pencen. Sejak siasatan itu dijalankan, pihak kerajaan menggantung pembayaran untuk 1,700 pesara yang hilang.