suria

K'jaan Baru Britain Kosongkan Jawatan TPM

Datuk Bandar London, Boris Johnson datang ke pejabat perdana menteri hanya bergalaskan beg sandar dan menaiki basikal.

LONDON: Perdana Menteri Great Britain, David Cameron pada Isnin mengumumkan barisan jemaah menterinya yang baru dengan mengosongkan kerusi timbalan perdana menteri yang sebelum ini terpaksa diberikan kepada pemimpin Parti Liberal Demokrat sebagai syarat pembentukan kerajaan campuran.

Bagaimanapun, memandangkan dalam pilihan raya kali ini, Parti Konservatif pimpinan Cameron berjaya membentuk majoriti mudah di Parlimen, mereka tidak memerlukan bantuan parti lain untuk membentuk kerajaan baru.

Dalam satu lagi keputusan yang di luar jangkaan, Cameron turut melantik sekutu rapatnya, iaitu Datuk Bandar London, Boris Johnson sebagai salah seorang anggota kabinet politik.

Perdana Menteri itu berkata, Johnson akan 'menghadiri mesyuarat kabinet politik saya' tanpa menjelaskan mengapakah dia membawa masuk Datuk Bandar itu di dalam kabinet politiknya.

Mesyuarat kabinet politik hanya melibatkan pemimpin kanan politik dalam kabinet tanpa melibatkan kakitangan awam.

Ia adalah untuk membincangkan isu-isu atau polisi yang berkaitan pelaksanaan keputusan strategi politik.

Tempoh perkhidmatan Johnson sebagai Datuk Bandar London akan tamat menjelang Mei tahun depan dan keputusan untuk membawanya masuk sebagai penasihat dalaman Cameron adalah sebagai langkah awal untuk memberi tempat kepadanya dalam kerajaan nanti.

Dalam pilihan raya umum Britain, Khamis lalu, Johnson menang untuk kawasan Uxbridge dan Ruislip Selatan di sini menewaskan calon dari Parti Buruh.

Beliau menjadi pemimpin pertama yang tiba di pejabat perdana menteri pada pagi Isnin untuk bertemu dengan Cameron.

Johnson datang dengan mengayuh basikal sambil mengalas beg sandar yang biasanya digunakan oleh pelajar-pelajar universiti dan orang muda.

Beliau disahkan menerima pelawaan Cameron untuk menduduki kabinet politik.

Satu lagi keputusan yang agak mengejutkan ialah pelantikan pengkritik keras terhadap Perbadanan Penyiaran British (BBC) John Whittingdale sebagai setiausaha kebudayaan dalam kabinet baru Cameron.

Dan sebagai setiausaha kebudayaan, Whittingdale akan bertanggungjawab terhadap merangka hala tuju BBC termasuk geran serta peruntukkan bajet.

Lesen BBC akan tamat menjelang tahun hadapan, dan jika mereka tidak dapat menyakinkan Whittingdale, mereka akan berada dalam kerumitan yang sangat besar.

Cameron turut melantik dua orang wanita berprofil tinggi sebagai anggota baru kabinetnya. Mereka ialah Amber Rudd sebagai Setiausaha Tenaga dan Priti Patel sebagai menteri pekerjaan.

Cameron sekurang-kurangnya perlu mengisi lima jawatan kabinet yang sebelum ini disandang oleh wakil-wakil daripada Parti Liberal Demokrat ketika dia membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya umum 2010.

Bagaimanapun parti yang dipimpin oleh bekas timbalan perdana menteri, Nick Clegg itu kalah teruk dalam pilihan raya kali ini - kehilangan 48 daripada 56 kerusi yang mereka menangi pada 2010.

Liberal Demokrat kini hanya tinggal lapan kerusi sahaja di Parlimen.

Cameron terlebih dahulu pada Sabtu mengumumkan pengekalan George Osborne sebagai setiausaha perbendaharaan malah memberikan jawatan tambahan kepadanya sebagai setiausaha negara pertama iaitu kerusi kabinet paling kanan selepas perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Dengan keputusan terbaru Cameron untuk tidak mengisi kekosongan jawatan timbalan perdana menteri, Osborne secara automatik jatuh sebagai orang nombor dua terpenting dalam kabinet Britain selepas perdana menteri.

Ini juga bermakna, jika terdapat soalan bertulis yang ditujukan kepada pejabat perdana menteri untuk dijawab dalam sesi soal-jawab Dewan Rakyat, Osborne boleh menjawabnya bagi pihak Cameron.

Ramai yang melihat, keputusan tersebut sebagai petunjuk yang Cameron telah memberi indikasi kepada parti itu siapakah bakal pengantinya akan datang.

Cameron telah membuat aku janji tidak akan memerintah lebih daripada dua penggal dan ini bermakna dia tidak akan mengepalai parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang pada 2020.

Beliau juga mengekalkan seorang lagi sekutu rapatnya, Theresa May sebagai setiausaha dalam negeri dan seorang lagi orang kanan, Michael Fallon sebagai setiausaha pertahanan serta Philip Hammond sebagai setiausaha luar. 


Artikel Lain