PADANG BESAR: Dua lagi kem yang digunakan sindiket penyeludupan manusia ditemui di sebuah hutan di sini yang terletak berhampiran sempadan Malaysia, menurut Amphon Buarubporn. Komander Polis Wilayah Songkhla itu berkata, siasatan mendapati salah sebuah kem itu baru ditinggalkan, manakala di kem berasingan, satu rangka manusia ditemui. “Penemuan ini menunjukkan kumpulan penyeludup ini sedang melarikan diri bersama pendatang yang mereka tahan,” katanya. Amphon turut menyertai anggota polis bersama wartawan pergi ke gunung Khao Kaew iaitu lokasi kem itu ditemui. Anggota polis merobohkan lapan pondok yang dibina di kem berkenaan. Pemeriksaan mendapati pondok itu berkenaan dibina menggunakan kayu yang baru dipotong, manakala sejumlah pakaian ditinggalkan menunjukkan kem itu baru beroperasi. Penemuan itu susulan operasi besar-besaran polis Thailand bagi memburu sindiket penyeludupan manusia selepas 26 mayat ditemui di kawasan hutan itu pada minggu lalu.