SISTEM pemerintahan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dianggap sebagai diktator (pemerintahan zalim) apabila menjatuhkan hukuman mati terhadap beberapa pegawainya. Empat tahun dahulu, seramai lima daripada tujuh pegawai kanan yang hadir semasa majlis pengebumian bapanya dilaporkan hilang, dihukum kejam atau dibuang negeri. Lima pemimpin tersebut iaitu Jang Song-thaek, Kim Ki Nam, Choe Tae-bok, Ri Yong-Ho, Kim Yong-chun, Kim Jong-gak dan U Dong-chuk antara yang terlibat mengiringi kenderaan yang membawa keranda milik Kim Jong-il pada Disember 2011. Bapa saudara kepada pemimpin tersebut, Jang didakwa ditembak mati manakala Ri dipercayai meninggal dunia, salah seorang dilaporkan hilang dan dua lagi dibuang negeri. Jan yang juga pak cik Kim ditembak mati. Hanya ketua propaganda rejim, Kim Ki Nam dan Pengerusi Dewan Rakyat, Choe Tae-bok adalah antara yang masih setia di sisi Kim. Terbaharu, kezaliman serta kekejaman pemimpin Korea Utara tersebut jelas dilihat apabila menjatuhkan hukuman tembak menggunakan senjata anti pesawat terhadap Menteri Pertahanannya, Hyon Yong-Choi. Hyon yang dilantik sebagai menteri pertahanan Korea Utara pada 2012, ditembak mati menggunakan senjata anti pesawat dihadapan beratus pegawai lain pada 30 April lalu. Difahamkan, Hyon ditangkap kerana tertidur semasa acara rasmi tentera dan didakwa menjawab balik kepada Kim beberapa kali. Hyon ditembak mati menggunakan senjata anti pesawat. Sementara itu, sejak mengambil alih kepimpinan bapanya pada 2011, Kim merancang melakukan beberapa siri penyingkiran dalam usaha untuk mengekalkan kuasanya. Kim turut mengarahkan hukuman mati terhadap 15 pegawai kanan pada tahun ini sebagai hukuman kerana mencabar pentadbirannya. Menurut Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan, secara keseluruhan, kira-kira 70 pegawai dihukum mati sejak Kim mengambil alih tampuk pemerintahan bapanya pada 2011.