NEW DELHI: Angka kematian akibat gelombang panas di seluruh India kini telah mencecah lebih 1,000 orang dengan suhu maksimum sampai ke tahap 50 darjah Selsius di sesetengah tempat. Kebanyakan mangsa korban dicatatkan di wilayah Telangana dan Andhra Pradesh, yang menyaksikan 1,118 kematian sejak seminggu yang lalu, demikian menurut laporan BBC. BBC juga menyebut, 24 orang telah dicatatkan terkorban di Bengal Barat dan Orissa. Gelombang panas telah melanda negeri-negeri di selatan India sejak pertengahan April, tetapi angka kematian meningkat dengan mendadak hanya beberapa minggu yang lalu. Negeri yang paling teruk dilanda cuaca panas ialah Andhra Pradesh, yang menyaksikan suhu meningkat sehingga 47 darjah Selsius pada Isnin dan mencatatkan angka kematian paling tinggi iaitu seramai 852 orang. Negeri bersebelahannya, Telangana, 266 orang disahkan terkorban setakat ini apabila suhu meningkat sehingga 48 darjah Selsius.