BOGOTA: Lima belas anggota polis maut dalam nahas helikopter yang terhempas sebelum terbakar di kawasan hutan di barat laut Colombia pada Selasa. Polis berkata, helikopter jenis UH-60 Black Hawk dikatakan mengalami masalah mekanikal semasa menyertai operasi membanteras narkotik di Antioquia, kira-kira 450 kilometer timur laut ibu negara, Bogota. "Nahas itu mengakibatkan 15 anggota polis terbunuh dan dua lagi cedera," kata polis dalam satu kenyataan. Nahas helikopter itu berlaku empat hari selepas seramai 11 anggota tentera maut terbabit dalam nahas pesawat jenis CASA C-235 yang terhempas di timur laut negara itu. - REUTERS