JAKARTA: AirAsia Berhad akan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Indonesia untuk meningkat ekuitinya bagi mengelak lesen operasi syarikat itu dibatalkan. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata beliau yakin hutang yang dimiliki syarikat itu dapat ditukar kepada ekuiti. "Kita sedang berusaha untuk menukar hutang kepada ekuiti, malah ia tidak menjadi masalah kepada kami," katanya kepada pemberita selepas majlis AirAsia meraikan penumpang ke-300 juta di sini, Isnin. Baru-baru ini, kerajaan Indonesia mengarahkan AirAsia Berhad dan beberapa lagi syarikat penerbangan lain untuk meningkatkan ekuiti masing-masing selewat-lewatnya 30 September ini. Jika gagal mematuhi peraturan itu, lesen operasi syarikat tersebut di negara ini akan dibatalkan. Sementara itu, Tony yakin pasaran penerbangan di negara ini akan terus kukuh lebih-lebih lagi dengan kejatuhan harga minyak dunia yang membolehkan syarikat tersebut mengekalkan kadar tambang pada harga rendah. "Saya yakin permintaan akan terus meningkat selepas mengambil kira harga minyak dunia. Tidak mustahil kami dapat mencapai penumpang ke-500 juta dengan lebih cepat," katanya. Jelas beliau lagi, kira-kira 25 hingga 27 peratus penumpang syarikat itu adalah dari Indonesia. Terdahulu, AirAsia meraikan Jodie Lazuardie, penumpang yang ke-300 juta dalam suasana cukup meriah di sini pada Isnin. AirAsia mencapai 100 juta penumpang pada Oktober 2010, dan meraikan tetamu yang ke-200 juta, tiga tahun kemudian pada bulan September 2013.