suria

Suspek Pengeboman Dipercayai Penyokong Baju Merah

Seorang lelaki memakai baju-T kuning dan membawa beg galas dilihat berjalan berhampiran kuil Erawan, di mana letupan bom di Bangkok membunuh 22 orang pada hari Isnin. Gambar diambil dari rakaman CCTV yang dikeluarkan oleh Polis Thailand pada Selasa. Pihak berkuasa Thailand berkata mereka kini sedang memburu suspek ini yang dilihat melalui rakaman CCTV berhampiran lokasi kejadian. - REUTERS
BANGKOK: Ketua junta Thailand Prayut Chan-O-Cha pada Selasa berkata pihak berkuasa sedang memburu seorang 'suspek' dilihat melalui rakaman CCTV berhampiran tempat kejadian pengeboman di Bangkok yang meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa dan mencederakan lebih daripada 120.

"Hari ini terdapat seorang suspek yang dilihat di CCTV tetapi ia tidak jelas ... kami sedang mencari lelaki ini," kata beliau sambil menambah suspek itu dipercayai dari sebuah 'kumpulan anti-kerajaan yang berpusat di timur laut Thailand' - kawasan utama pergerakan Baju Merah yang menentang junta tentera.

Prayut, yang juga Perdana Menteri Thai, berkata bom itu yang ditanam di Makam Erawan yang popular dengan pelancong dan warga Thailand, adalah serangan paling buruk pernah berlaku di Thailand.

Mangsa yang maut termasuklah dua warga China, dua warga Hong Kong, dua rakyat Malaysia, seorang warga Singapura dan lima rakyat Thailand. Selebihnya masih belum dikenal pasti.

Seramai 123 orang cedera dengan rakyat Thailand menjadi mangsa paling ramai dirawat (42 orang), diikuti oleh 28 mangsa Cina.

Jurucakap polis Prawut Thavornsiri berkata 'pengeboman mensasarkan untuk membunuh seberapa ramai yang mungkin kerana kuil berada dalam keadaan sesak kira-kira pukul 6 hingga 7 petang.

Jurucakap kerajaan Werachon Sukhondhapatipak memberitahu pemberita bahawa masih terlalu awal untuk mengaitkan serangan bom dengan pengganas kerana tidak ada kumpulan yang tampil mendakwa bertanggungjawab setakat ini."

Serangan itu tidak sepadan dengan taktik yang digunakan oleh pemberontak pemisah di selatan Thailand, kata Ketua Tentera Diraja Thai dan Timbalan Menteri Pertahanan Negara Udomdej Sitabutr dalam satu wawancara di televisyen.

Kawasan itu yang berada di persimpangan trafik utama diapit oleh hotel lima bintang dan pusat beli-belah mewah, masih dikepung pada awal Selasa dan polis mengetatkan keselamatan, dengan beratus-ratus sekolah ditutup.

Menjelang subuh, pakar bom polis mengambil gambar tapak letupan itu untuk mendapatkan petunjuk, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Bom itu diletupkan kira-kira pukul 6.30 petang di tengah-tengah waktu puncak di bandar ini, dengan ledakan bola api di udara menyebabkan penumpang dan pelancong melarikan diri dalam keadaan panik.

"Saya mendengar letupan yang sangat kuat, membuatkan seluruh bangunan bergegar jadi saya berlari ke luar untuk melihat apa yang telah berlaku," kata Panupan Chansing, 20, seorang pekerja hotel di berdekatan Grand Hyatt Erawan, kepada AFP lewat Isnin.

"Saya melihat mayat-mayat di atas tanah dan saya melihat kenderaan terbakar. Saya berasa amat sedih ia telah berlaku kepada orang-orang Thai ... Saya takut. "

Artikel Lain