JAKARTA: Sebanyak 34 bot asing yang dirampas ditenggelamkan pihak berkuasa Indonesia sebagai usaha terbaharu bagi mengekang penangkapan ikan secara haram di sekitar perairan kepulauan itu. Pemeriksaan mendapati semua bot yang kosong itu dari Thailand, Vietnam, Filipina dan Malaysia. Ia ditenggelamkan di kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau itu sempena Hari Kemerdekaan Indonesia ke-70 pada Isnin dengan sambutan diadakan di seluruh negara. Semua bot itu yang diletupkan atau ditenggelamkan di beberapa lokasi dirampas kerana menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia. Presiden Indonesia, Joko Widodo kini mengetuai kempen memerangi penangkapan ikan secara haram yang menurutnya, menyebabkan negara itu kerugian pendapatan berbilion dolar setiap tahun. Sementara itu, pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Marin, Asep Burhanuddin berkata, lima bot itu diletupkan dengan dinamit, manakala bakinya ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan. – AFP