suria

Proses Pengecaman 54 Mangsa Pesawat Terhempas Bermula

Pasukan keselamatan Indonesia mengusung mayat mangsa pesawat terhempas yang tiba di Lapangan Terbang Sentani, Jayapura untuk dibawa ke hospital, Khamis.

JAYAPURA: Keluarga mangsa insiden pesawat ATR-42-300 Trigana Air yang terhempas di pedalaman timur Indonesia dijangka dapat memberi penghormatan terakhir sebaik selesai proses pengecaman semua 54 mayat.

Sehingga lewat Khamis, semua 54 mayat mangsa terbabit berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian dan dihantar ke hospital dari Lapangan Terbang Sentani dari Oksibil.

Usaha mengeluarkan mayat terpaksa dilakukan menggunakan jalan darat dengan meredah hutan tebal hasil kerjasama pasukan tentera dan penduduk tempatan sebelum diterbangkan ke Jayapura.

"Mayat kini ditempatkan di hospital untuk proses pengecaman, sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa," kata Pengarah Urusan Trigana Air, Kapten Beni Sumryanto kepada AFP.

Selain itu, kata Beni, perakam data penerbangan pesawat turut ditemui dan dihantar ke Jakarta untuk dianalisa.

"Kotak hitam, perakam suara yang ditemui akan menjadi petunjuk penting untuk mengenalpasti punca insiden,"katanya.

Tambahnya lagi, penyiasat dari Agensi BEA Perancis dan penasihat teknikal daripada ATR yang berpangkalan di Perancis telah tiba di ibu negara Indonesia untuk membantu siasatan.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Jayapura, ke Oksibil, apabila terputus hubungan kira-kira sembilan minit sebelum dijadualkan mendarat.

Pesawat buatan Perancis dan Itali itu membawa  49 penumpang, termasuk lima kanak-kanak dan bayi serta lima anak kapal.

Trigana Air, Oksibil, Jayapura

Artikel Sebelum

Korea Selatan-Utara Tegang

Artikel Lain