PENULIS novel James Bond yang baharu membuat permohonan maaf selepas mengatakan pelakon warga Britain, Idris Elba 'terlalu jalanan' untuk memegang watak utama dalam filem 007. Anthony Horowitz yang menulis novel baharu Trigger Mortis memberitahu Daily Mail bahawa bintang drama Luther itu yang dikhabarkan disenaraikan antara pelakon yang bakal menggantikan Daniel Craig tidak sesuai untuk memegang watak Bond. Beliau kemudiannya membuat permohonan maaf kepada bintang berusia 42 tahun itu di Twitter: "Saya benar-benar memohon maaf mengenai komen saya yang menyinggung perasaan tentang Idris Elba. Ia bukanlah niat saya." Memetik kenyataan penulis novel berusia 60 tahun itu sebagai berkata: "Ia bukan isu warna (kulit). Adakah persoalannya tentang elegan? Ya." Horowitz berkata, beliau memikirkannya berdasarkan peranan Elba yang cekal sebagai detektif yang dilakonkannya dalam drama jenayah, Luther dan bukan berniat untuk menyinggung perasaan pelakon itu. Menurut Horowitz, beliau percaya pelakon kulit hitam lain iaitu Adrian Lester akan menjadi pilihan yang lebih baik. Tambah Horowitz: Dalam temuramah, saya ditanya sekiranya Idris Elba akan menjadi James Bond yang bagus. Dalam artikel itu saya memberikan pandangan saya bahawa dalam fikiran saya adalah Adrian Lester akan menjadi pilihan lebih baik tetapi saya adalah penulis dan bukannya pengarah yang memilih barisan pelakon, jadi apa yang saya tahu? "Silap bila saya gunakan perkataan 'jalanan' untuk merujuk kepada peranan yang dibawakan oleh Elba sebagai John Luther tetapi saya perlu mengakui bahawa saya lemah dalam penggunaan perkataan. Memalukan bila saya telah menyebabkan perasaan orang tersinggung," katanya. - Mail Online