suria

20 Maut Serangan Bom Di Masjid Yaman

Pasukan keselamatan dan kecemasan sedang membuat pemeriksaan di dalam bangunan masjid di Yaman, lokasi serangan bom pada malam Rabu.

KUMPULAN militan Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab terhadap dua serangan bom di masjid Yaman pada malam Rabu, mengakibatkan 20 orang maut dan ramai lagi cedera.

Berdasarkan serangan awal, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya sendiri di dalam bangunan masjid sehingga mengorbankan sejumlah jemaah yang mahu menunaikan solat.

Sejurus selepas itu, sebuah kereta yang dipasang bom dan diletakkan di luar masjid pula meletup.

Kanak-kanak merupakan antara mangsa serangan bom di masjid di Yaman, malam Rabu.

Menerusi mesej yang tersebar di media sosial, anggota gabungan Negara Islam di Yaman mendakwa bertanggungjawab terhadap dua serangan bom itu dengan mendedahkan identiti penyerang iaitu Quay al-Sanaani.

Pegawai perubatan berkata, angka kematian dijangka meningkat berikutan ramai mangsa sedang berada di bilik pembedahan di beberapa hospital.

Beberapa saksi berkata, sebuah kereta meletup ketika orang ramai yang cedera keluar dari masjid, sehingga menyebabkan kematian sejumlah mangsa.

Anggota gabungan IS di Yaman telah melakukan beberapa serangan yang sama dengan menjadikan masjid sebagai sasaran, termasuk satu siri pengeboman berani mati pada 20 Mac lalu di Sanaa yang mengorbankan 137 orang dan mencederakan 345 yang lain. - Mail Online

IS

Artikel Lain