suria

Indonesia Akui Sukar Tangani Jerebu

Pemandangan menerusi udara di Palembang, Indonesia.

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengakui usaha mengatasi masalah jerebu adalah sesuatu yang sukar tetapi memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik bagi menangani keadaan itu.

Naib Presidennya Jusof Kalla berkata di pihak kerajaan, mereka sudah melakukan apa yang mampu dalam menangani masalah jerebu itu, yang kesannya turut dirasai negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

"Selalu saya katakan ini masalah alam. Kita sudah berusaha termasuk pembiayaan membawa 20 helikopter dan pesawat bagi mengatasinya tetapi ternyata ia sukar. Ini kerana ketika ini musim kering," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Istana Wakil Presiden di sini Jumaat.

Jusof berkata Malaysia turut menyatakan sokongan untuk kerajaan Indonesia mengambil tindakan ke atas syarikat perladangan milik Malaysia terutama di Sumatera yang terlibat dalam pembakaran yang menyebabkan jerebu itu.

"Apa yang penting kita berusaha sebaiknya (dalam menangani jerebu) tetapi perubahan alam yang menyebabkan terjadinya perkara itu.

"Bagi negara tetangga, kita sama-sama menikmati alam ini dan kita sama-sama kena akibatnya kalau salah (menguruskan persekitaran). Hakikatnya kita (Indonesia) lebih menderita (dalam isu jerebu)," katanya.

Sementara itu, Jusof berkata Malaysia dan Indonesia selaku pengeluar terbesar minyak kelapa sawit dunia perlu bersatu dalam menghadapi persaingan daripada minyak makanan menggunakan sumber lain seperti soya dan bunga matahari.

"Di dunia ini, 80 peratus minyak kelapa sawit adalah dari Malaysia dan Indonesia. Dalam soal ini, kita terpaksa bersaing dengan sumber lain. Malaysia dan Indonesia perlu bersatu menghadapi cabaran ini," katanya.

Mengenai pertemuan kira-kira sejam dengan Ahmad Zahid hari ini, Jusof berkata perbincangan antara pemimpin nombor dua Malaysia dan Indonesia itu tertumpu kepada soal hubungan kedua-dua negara yang lebih baik.

"Kita bincangkan soal ekonomi, sosial dan juga keamanan kawasan," katanya. - BERNAMA

jerebu, Indonesia, Jusof Kalla

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain