JAKARTA: Indonesia mengarahkan empat syarikat digantung operasi berhubung kebakaran hutan di negara itu hingga menyebabkan Asia Tenggara diselubungi jerebu. Ketua Setiausaha Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK), Bambang Hendroyono berkata penggantungan tersebut akan berkuatkuasa sehingga prosiding perbicaraan selesai. Katanya, tiga syarikat perladangan dibekukan permit manakala lesen sebuah syarikat perhutanan ditarik balik. PT Langgam Inti Hibrindo, yang dimiliki PT Provident Agro antara syarikat yang dilaporkan terlibat. Kebakaran hutan di Pulau Sumatera dan Kalimantan sejak beberapa minggu lalu turut menjejaskan kualiti udara di Malaysia dan Singapura sehingga merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada bacaan tidak sihat.