SYDNEY: Sebuah pesawat Cathay Pacific membuat pendaratan cemas di Denpasar, Bali pada awal pagi Jumaat selepas enjinnya terbakar semasa dalam penerbangan dari Perth ke Hong Kong. Syarikat penerbangan itu mengesahkan pesawat Airbus A330 CX170 yang membawa seramai 251 penumpang mendarat dengan selamat pada pukul 3.35 pagi. Seorang lelaki berwarga Australia, Joel Cirna memberitahu Perth Radio 6PR bahawa penumpang panik selepas mendengar satu letupan kuat sehingga mengegarkan pesawat berkenaan. Cirna berkata, menerusi tingkap pesawat dia dapat melihat enjin pesawat tersebut terbakar. "Semua lampu terpadam, menerusi tingkap pesawat kami boleh melihat percikan api di bahagian sayap dan motor yang terbakar. "Ia saat mengerikan dan semua anak kapal cuba menenangkan penumpang," katanya. Menceritakan lagi, katanya, ramai terbangun dan ketakutan, termasuk kanak-kanak perempuan di sebelahnya yang menangis apabila menyedari kejadian itu. "Pengumuman kemudian dibuat memaklumkan situasi sebenar dan usaha untuk melakukan pendaratan cemas di Bali," katanya sambil menambah pesawat itu mendarat selepas 15 minit enjinnya terbakar. Menurut Cathay Pacific pesawat itu berlepas dari Perth pada tengah malam dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Denpasar di Bali kerana kerosakan enjin kedua pesawat. "Pesawat itu mendarat dengan selamat, pasukan bomba menunggu pesawat sebagai persediaan untuk berhadapan sebarang kemungkinan. "Bagaimanapun, tiada kebakaran di dalam kapal terbang dan tiada penumpang atau anak kapal tercedera," lapor media Australia.