SINGAPURA: Dua warga Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Ogos lalu kerana merancang untuk menyertai Kumpulan Militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri republik itu pada Rabu. Kedua-dua lelaki itu ditahan dalam kes berasingan. Suspek Muhammad Shamin Mohamed Sidek, 29, pernah didakwa kerana menghasut keganasan di media sosial manakala Muhammad Harith Jailani, 18, dipercayai terpengaruh dengan dakyah kumpulan militan itu secara dalam talian. Pada Mei lalu, Muhammad Shamin didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan kerana menghasut keganasan agama menerusi posting pro-IS di laman media sosial. Siasatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mendapati Shamin merancang untuk berlepas ke Syria untuk menyertai IS sebaik sahaja mempunyai wang yang cukup untuk membiayai perjalanan tersebut. Menurut kementerian tersebut, Muhammad Harith pula menggumpul maklumat mengenai cara untuk dia berlepas ke Syria dan cuba merekrut beberapa individu lain untuk menyokong perjuangan IS. "Beberapa warga Singapura yang ditahan sudah bersedia untuk melancarkan serangan keganasan di Singapura," katanya. Dua lagi warga Singapura turut ditahan di bawah ISA awal tahun ini kerana cuba menyertai IS.