suria

10 Hari Padam Kebakaran Hutan Sumatera Selatan

Pasukan keselamatan Singapura bersiap sedia untuk memadamkan kebakaran hutan di Sumatera Selatan, Isnin.

PALEMBANG:Sekurang-kurangnya 10 hari diperlukan pasukan gabungan Indonesia, Singapura dan Malaysia untuk memadamkan kebakaran hutan di sekitar Sumatera Selatan.

Menteri Indonesia yang bertanggungjawab mengendalikan urusan membabitkan ketiga-tiga negara itu, Luhut Pandjaitan berkata demikian pada sesi taklimat krisis jerebu pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Keselamatan, Politik dan Perundangan berkata, tempoh masa itu ditetapkan susulan cuaca kering selain musim El Nino yang boleh menyukarkan usaha memadamkan kebakaran di tanah gambut itu.

Selain itu, katanya, asap tebal dari kebakaran itu juga menyebabkan jarak penglihatan kurang termasuk dari udar, sekali gus menyukarkan operasi menggugurkan bom air atau pembenihan awan.

Mula Isnin juga, pasukan gabungan ketiga-tiga negara berkenaan memulakan operasi masing-masing.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB) menerusi kenyataan berkata, sebanyak tujuh buah helikopter dan empat pesawat terlibat dalam misi tersebut.

Operasi tersebut tertumpu di kawasan Ogan Komering Ilir dan Musi Banyuasin.

Menurut BNPB, satu lagi pasukan bantuan dari Australia dijangka tiba di Palembang, manakala Canberra akan turut menghantar pesawat Thor jenis Hercules L 100 dengan kapasiti mampu membawa 15 tan air awal minggu depan.

Pesawat Australia itu akan hanya digunakan selama lima hari kerana ia masih mempunyai tugas untuk memadamkan kebakaran hutan di New South Wales, Australia, kata BNPB.


Artikel Lain