SELEPAS dikatakan dipulau kumpulan Negara Islam Syria (ISIS), Mohammed Emwazi atau lebih dikenali sebagai Jihadi John kini disenaraikan antara penjenayah paling dikehendaki di Britain. Pihak berkuasa keselamatan negara kelahirannya mahu menahannya "hidup-hidup" untuk membawa pemuda berusia 27 tahun itu ke muka pengadilan mengikut undang-undang Britain. Malahan setakat ini, usaha semakin giat dijalankan untuk menjejakinya selepas mendapat maklumat bahawa kepimpinan IS kecewa dengannya kerana mendakwa Emwazi antara punca kumpulan pengganas itu berhadapan serangan berterusan pihak barat. Jika berjaya menahannya, Jihadi John akan disoal siasat berhubung pembunuhan yang dilakukannya termasuk tindakannya memenggal kepala tawanan Britain, David Haines dan Alan Henning. Sumber Keselamatan Amerika Syarikat (AS) memberitahu Sunday People: "Pasukan perisik memaklumkan Emwazi kita tidak diberi tugas khusus dalam IS dan dia juga sering berpindah serta tidak lagi diberi tugas penting atau berada di lokasi strategik. "Kami percaya inilah masa paling sesuai untuk menahannya, terutama ketika dia melalui proses transit," katanya. Kata sumber itu lagi, Emwazi juga dikatakan berhubung dengan kumpulan sama di Syria dan sedang berusaha untuk menyelamatkan dirinya dengan memasuki Somalia dan menyertai kumpulan Al Shabab. Pihak AS berpendapat adalah lebih baik jika usaha menahan Emwazi diketuai Britain kerana ia dapat memudahkan urusan perundangan, selain alasan politik.