suria

Wanita Bersalin Dalam Pesawat Didakwa Mahu Anak Lahir Di AS

Anak kapal China Airlines bersama bayi yang baharu lahir semasa dalam penerbangan dari Taiwan ke Los Angeles.

SEORANG wanita warga Taiwan melahirkan anak pada ketinggian 30,000 kaki semasa dalam penerbangan dari Taipei ke Los Angeles.

Portal Mirror melaporkan wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Jian didakwa "menyembunyikan" kehamilannya bagi membolehkan dia melahirkan bayi di Amerika Syarikat (AS).

Jian bagaimanapun melahirkan bayi dalam pesawat China Airlines semasa dalam penerbangan ke Los Angeles.

Keadaan itu mencetuskan panik di kalangan anak kapal namun wanita bernasib baik apabila terdapat seorang penumpang yang merupakan doktor tampil membantu untuk proses bersalin.

Penerbangan itu bagaimanapun terpaksa dilencongkan ke Anchorage, Alaska bagi membolehkan Jian dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Timbul dakwaan mengenai Jian, warga Taiwan itu mahu anaknya dilahirkan di AS supaya mereka layak mendapat taraf kewarganegaraan secara automatik.

Memetik laporan China.com.cn, wanita itu didakwa enggan untuk baring bagi memudahkan proses bersalin dan sering kali bertanya sama ada pesawat itu berada di AS.

Portal berita itu mendakwa Jian diasingkan daripada anaknya pada Sabtu lalu selepas bayi yang baharu lahir itu mendapatkan kewarganegaraan AS.

Wanita itu dihantar pulang ke Taiwan tetapi bayi perempuannya masih berada di AS bersama keluarga rakannya kerana anaknya belum lagi sesuai untuk menaiki penerbangan.

Jian turut berhadapan dengan denda sebanyak £21,000 (RM139,244.56) sebagai ganti rugi kerana gagal memberitahu syarikat penerbangan bahawa dia hamil selama 36 minggu.

China Airlines

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain