suria

Pesara Antara 43 Maut Bas Bertembung Trak

Kemalangan yang mengorbankan 43 nyawa termasuk sekumpulan pesara dekat Gironde, Jumaat.

PUISSEGUIN: Sekumpulan warga tua dan kanak-kanak antara 43 penumpang yang terkorban apabila bas yang dinaiki bertembung dengan sebuah trak dalam kemalangan di selatan Perancis, Jumaat.

Warga tua di kalangan pesara itu adalah penumpang bas, manakala kanak-kanak berusia tiga tahun itu maut dalam trak.

Pihak berkuasa tempatan memberitahu, bas dan trak terbabit bertembung di satu selekoh dua lorong di kawasan hutan berhampiran Puisseguin di daerah Gironde, kira-kira 60 kilometer dari timur Bordeaux.

Bas berkenaan membawa kira-kira 50 pesara untuk ke daerah Bearn di perkampungan Petit Palais.

Nahas itu berlaku hanya beberapa minit selepas mereka menaiki bas.

Sementara itu, pemandu bas terbabit dilaporkan terselamat selepas berjaya keluar melalui pintu depan ketika nahas berlaku.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, siasatan awal mendapati semua penumpang dalam bas itu adalah warga Perancis.

Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls dijadualkan mengunjungi tempat kejadian. Ia adalah kemalangan jalan raya terburuk di negara itu sejak nahas bas di Burgundy pada Julai 1982 yang mengorbankan 53 orang. - Reuters


Gironde, pesara, Manuel Valls

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain