KABUL: Sekurang-kurangnya 135 maut dan ramai lagi cedera akibat gempa bumi berukuran 7.5 magnitud yang melanda Afghanistan pada Isnin. Selain di Afghanistan, antara mangsa yang terbunuh adalah mereka di negara jiran di utara Pakistan. Seorang budak lelaki (kanan) yang mengalami kecederaan akibat gempa bumi di Afghanistan menyandarkan kepala di bahu bapanya selepas menerima rawatan di hospital di Pakistan. Foto Reuters Selain Afghanistan dan Pakistan, gegaran itu turut dirasai sehingga ke New Delhi, India. Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berlaku di timur laut Afghanistan, 250 kilometer dari Kabul, dengan kedalaman 213.5 kilometer. Pusat gempa itu hanya beberapa ratus kilometer dari bencana gempa bumi berukuran 7.6 magnitud pada Oktober 2005, sehingga mengorbankan lebih 75,000 orang. - Reuters