PETALING JAYA: Calon berketurunan Malaysia dipilih sebagai Datuk Bandar Canning dalam pilihan raya di Barat Australia. Paul Ng, 64, menerima sebanyak 3,376 undi sementara pesaingnya 2,713 undi dalam pilihanraya pada 17 Oktober lalu. Ng menerima 22 peratus undi dalam pilihanraya yang turut mempertandingkan 11 calon yang lain. Ng yang mengangkat sumpah tugasnya pada Selasa lepas tidak menyangka terpilih menjadi datuk bandar. Katanya, masyarakat Australia sudah mula menerima, tidak kira dari mana mereka datang. "Mereka sememangnya menerima kita. Kami diterima untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat itu. Jika tidak, saya tidak akan ada di pejabat itu. "Di sini, saya rasa seperti berada di rumah," katanya yang sudah menjadi penduduk tetap Australia. Canning terletak di tenggara subbandar Perth dan mempunyai populasi hampir seramai 100,000 penduduk. Menurut Ng yang berasal dari Bangsar, Kuala Lumpur, beliau inign memberi sumbangan kepada masyarakat di bandar berkenaan. "Saya sebahagian daripada komuniti dan saya sayangkan komuniti ini. Pada usia saya yang tua ini, saya ingin menghabiskan masa dengan masyarakat dan menyumbang sebanyak yang saya boleh," katanya yang juga seorang bapa kepada dua anak. Matlama Ng ketika ini ialah untuk menyelesaikan isu kewangan bandar tersebut. Walaupun menggelarkan Australia sebagai rumahnya, namun beliau tidak pernah lupa asal usulnya dan sekali sekala pulang ke Malaysia untuk melawat saudara mara. "Saya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Saya akan tetap sayangkan Malaysia," katanya.