SAMUT PRAKAN: Miss Uncensored News Thailand 2015 iaitu Khanittha "Mint" Phasaeng mahu terus membantu ibunya mengutip sampah kerana itu adalah sumber pendapatan keluarganya. Kejayaan Mint dalam pertandingan ratu cantik tersebut sebelum ini menjadi kontroversi apabila dia didakwa menipu mengenai tahap pendidikan, selain status sebagai pemungut sampah terbongkar. Bagaimanapun, selepas beberapa hari mahkota kemenangan itu diperoleh, penganjur pertandingan ratu cantik itu memutuskan gadis berusia 17 tahun itu berhak mengekalkan gelaran itu. Bangga dengan kemenangan itu, Mint mendedikasikan kejayaan berkenaan kepada ibunya. Malah dia turut melutut kepada ibunya dan mengucapkan terima kasih kerana menyokong minatnya. Selain itu, Mint juga bersedia untuk turun ke jalanan bagi membantu mengutip sampah seperti biasa. "Saya tidak berasa malu untuk membantu ibu mengutip sampah kerana saya telah melakukannya sejak kecil. "Saya akan terus membantu dia, kerana dia adalah insan paling istimewa dalam hidup saya," luahnya.