suria

Rakyat Myanmar Keluar Mengundi Hari Ini

Seorang pengundi, Thizarli Htut Htut, 18, menunjukkan dakwat dijarinya selepas selesai mengundi.

YANGON: Rakyat Myanmar keluar mengundi pada Sabtu dalam pilihan raya umum bersejarah yang mungkin menyaksikan Aung San Suu Kyi dan parti prodemokrasi National League for Democracy (NLD) pimpinannya mendapat kuasa mentadbir negara itu.

Pada ketika ini, Myanmar berada dibawah pemerintahan junta tentera.

Meskipun pusat pengundian masih belum dibuka, warga Myanmar sanggup berbaris panjang kerana tidak sabar untuk mengundi dalam pilihan raya itu.

Mereka juga berharap pilihan raya tersebut dilaksanakan secara telus dan adil.

"Semua pusat pengundian dibuka pukul 6 pagi waktu tempatan," kata pegawai suruhanjaya, Ko Ko.

Pengundi berbaris sejak awal pagi lagi.

NLD pernah beberapa kali menyuarakan keyakinannya bahawa pilihan raya yang adil dan telus akan membolehkannya membentuk kerajaan.

Suu Kyi yang lebih dikenali warga Myanmar sebagai 'Ibu Suu' menerajui gerakan demokrasi di negara itu sekali gus menjadi pendorong utama kekuatan NLD.

Bagaimanapun, Suu Kyi tidak boleh menjadi presiden negara itu mengikut perlembagaan yang dirumus junta tentera.

Dalam pada itu, beberapa pengundi yang ditemui menyuarakan kebimbangan mereka berhubung kemungkinan reaksi tentera jika mereka kalah dalam pilihan raya itu nanti.

"Saya tak boleh tidur malam tadi kerana terlalu teruja (untuk mengundi)," kata Ohnmar Win, 38, seorang pengundi ditemui di sebuah pusat pengundian yang mana Suu Kyi turut dijadualkan mengundi di situ pagi Sabtu.


Artikel Lain