KADUNA, Nigeria: Seramai 32 orang terbunuh selepas sebuah bom diletupkan di Jambutu dekat ibu negeri Adamawa pada Selasa. Kejadian pada pukul 8.20 pagi itu berlaku selepas tiga hari Presiden negara tersebut, Muhammadu Buhari melawat kawasan berkenaan dan mengisytiharkan kumpulan militan Boko Haram semakin hampir ditewaskan. "Setakat ini, seramai 32 orang disahkan terbunuh manakala 80 cedera," kata koordinator Agensi Pengurusan Bencana, Sa'ad Bello. Pasukan perubatan pula menjangkakan jumlah kematian akan meningkat kerana terdapat mangsa yang mengalami kecederaan parah. Boko Haram yang merupakan kumpulan militan terbesar di Nigeria telah membunuh seramai 17,000 penduduk dan tentera sejak enam tahun lalu.